Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
DUNGUN: Akibat berebut pelanggan, seorang pekerja sebuah syarikat pemasangan stesen televisyen berbayar cedera ditumbuk rakannya, kelmarin.
Pergaduhan dua rakan karib itu berlaku ketika mereka bersama-sama menjalankan tugas di Paka.
Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata sebelum kejadian, dua rakan terbabit dari Kuala Terengganu pergi ke kawasan itu menaiki kenderaan berasingan untuk memasang alat pemancar.
Beliau berkata, ketika sedang bertugas, mangsa berusia 31 tahun dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu menerima panggilan daripada rakannya meminta dia ke Jalan Santong di sini, kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, mangsa yang menyangkakan lelaki itu memerlukan peralatan memasang pemancar berkenaan kemudian segera ke kawasan dijanjikan sebelum memberhentikan kenderaan di depan Balai Bomba dan Penyelamat Paka.
Katanya, sebaik tiba di kawasan itu, dia segera keluar daripada kenderaan, pada masa sama, rakannya berusia 40 tahun terus mencekak baju dan menumbuk muka serta kepala mangsa.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan melulu rakannya itu meninggalkan kawasan itu dan pulang ke Kuala Terengganu bersama pembantunya.
“Sebaik tiba di Kuala Terengganu, mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 3.40 pagi sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan pada jam 5 pagi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan kejadian itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca akibat tidak puas hati suspek yang menyangkakan mangsa mahu membolot semua kerja pemasangan di kawasan itu.
“Kami masih menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan lanjut daripada kedua pihak bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Thursday, June 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment