Tuesday, June 16, 2009

Padah ‘peluk’ isteri orang

KUALA TERENGGANU - Gara-gara ‘jatuh cinta’ dengan wanita bergelar isteri orang, seorang buruh sanggup berusaha berulang kali menceroboh rumah mangsa yang terletak di Kampung Kolam, Ajil, Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, tindakan berani suspek ‘mengusik’ isteri orang akhirnya membawa padah, apabila dia berjaya ditangkap suami mangsa sebelum diikat dan diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, sebelum kejadian, suspek dilaporkan sudah tiga kali menceroboh rumah mangsa dan cuba memeluk pengadu ketika ketiadaan suaminya.

“Kejadian pertama berlaku pada 11 Jun lalu ketika mangsa, seorang suri rumah, berada di dapur seorang diri dan suspek tiba-tiba cuba masuk melalui pintu belakang rumah, namun sempat dihalang oleh mangsa,” katanya semalam.

Menurutnya, kejadian sama berulang Ahad lalu kira-kira jam 1 tengah hari apabila suspek tiba-tiba meluru masuk ke rumah melalui pintu depan dalam keadaan khayal dan cuba memeluk mangsa.

“Terkejut dengan perlakuan suspek, mangsa berusia 33 tahun terus berlari keluar dari rumah dan pergi meminta bantuan jiran,” katanya.

Bagaimanapun kata Mohd Fauzi, ketakutan mangsa tidak berakhir di situ kerana lelaki terbabit terus mengganggu wanita itu dengan melakukan cara sama kelmarin namun wanita itu bernasib baik apabila suaminya berada di rumah.

“Geram dengan sikap suspek mengganggu isterinya, suami mangsa menangkap lelaki berkenaan dan mengikatnya sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Suspek berusia 31 tahun dari Kampung Tok Randok, Hulu Terengganu kini ditahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh,” katanya. Sinar

No comments:

Post a Comment