Thursday, June 11, 2009

Peragut tenang terima hukuman penjara 20 bulan

BESUT – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah meragut beg tangan milik seorang wanita yang menunggang motosikal berhampiran tanah perkuburan, di sini.

Majistret Ahmad Adha Amin Yasser Amri memerintahkan hukuman terhadap Azman Hafizal Azmi, 31, berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 28 April lalu.

Azman Hafizal Azmi kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa meragut sebuah beg tangan milik Mek Som Mamat@Awang Mat, 44, yang mengandungi tunai RM121 dan beberapa dokumen penting kira-kira jam 9 pagi 7 Mac lalu ketika mangsa melalui Jalan Kampung Lampu berhampiran kubur lama Kampung Raja.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Cif Inspektor Rozaimie Abd Rahim, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Barang kes ditemui semula selepas tertuduh membawa anggota polis ke tempat dia membuang beg itu di dalam semak belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pinang, Kampung Raja.

Sementara itu dalam kamar mahkamah yang sama, Ahmad Adha Amin menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan berkuat kuasa tarikh dia ditangkap pada 28 April lalu terhadap Syamsul Saidi, 26, selepas lelaki itu mengaku bersalah mencuri ikan dan udang seberat kira-kira lapan kilogram di Alor Peroi, Kuala Besut.

Tertuduh didakwa mencuri ikan dan udang yang berisi dalam sebuah tong di dalam sebuah van milik seorang peniaga pada jam 5 petang 28 April lalu sebelum ditangkap anggota polis dan orang awam setengah jam kemudian. Sinar

No comments:

Post a Comment