Tuesday, June 9, 2009

Pemuda ugut bunuh bapa ditahan

KUALA TERENGGANU 9 Jun - Hanya kerana gagal memperoleh wang yang diminta, seorang pemuda sanggup bertindak mengugut untuk membunuh bapa kandungnya sendiri.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Teluk Alur Lintah, Kertih di Kemaman pada 9 Mei lalu apabila pemuda berusia 33 tahun itu meminta wang tunai sebanyak RM2,000 daripada bapanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, bapanya, seorang warga emas berusia 60 tahun mendakwa anak lelakinya meminta wang itu untuk membeli pil dan berniaga.

"Disebabkan berang kerana permintaannya tidak dipenuhi, suspek yang bekerja sebagai pengimpal besi mengamuk dan mengugut mahu membakar rumah serta membunuh mangsa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, selepas mengamuk, suspek keluar dari rumah lalu memecahkan cermin kereta bapanya yang bekerja sendiri.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, suspek beberapa kali mengugut untuk mencederakan dan membunuh mangsa menggunakan parang tetapi berjaya dihalang ahli keluarga yang lain.

Katanya, takut dengan ugutan anaknya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja di Kertih kira-kira pukul 12.15 malam pada 3 Jun lalu.

Berikutan laporan itu, kata beliau, polis menahan pemuda tersebut di rumahnya kira-kira pukul 2.20 petang semalam.

Menurut Mohd. Fauzi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
- Utusan

No comments:

Post a Comment