Tuesday, June 23, 2009

Kadar Jenayah Di Terengganu Turun 12.78 Peratus Jan-Jun

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Kadar jenayah di Terengganu dalam enam bulan pertama tahun ini turun 12.78 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata sejak 1 Jan sehingga hari ini, sebanyak 2,770 kes dicatatkan berbanding 3,176 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas, yang menunjukkan penurunan 406 kes dan merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan polis dan penyerahan motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini Selasa, Mohd Shukri berkata polis negeri menyasarkan menurunkan kadar jenayah di Terengganu antara 24 dan 25 peratus sehingga akhir tahun ini.

Mohd Shukri berkata kes kecurian motosikal masih lagi tinggi di Terengganu walaupun pelbagai usaha telah diambil bagi menanganinya.

Namun, katanya, kadar kecurian motosikal dan kereta telah meningkat dalam tempoh itu, masing-masingnya kepada 1,267 kes berbanding 1,041 kes, dan 125 kes daripada 95 kes.

Pada majlis itu, polis Terengganu menerima 39 buah motosikal berkuasa tinggi untuk diagihkan kepada daerah-daerah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment