KUALA TERENGGANU 9 Jun - Polis menahan seorang lelaki yang cuba mencuri besi di bengkel lori milik majikannya di Kawasan Perindustrian Cacar, Paka semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, seorang pengawal keselamatan terserempak dengan pemuda itu yang sedang memotong beberapa batang besi kira-kira pukul 1 petang lalu cuba menahannya.
Menurutnya, lelaki berusia 34 tahun dan berasal dari Felda Pemanis, Johor itu kemudian menyembunyikan besi yang dipotong di belakang bengkel berkenaan.
"Pengawal keselamatan terbabit cuba menahan suspek tetapi dia sempat melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di belakang bengkel.
"Bagaimanapun, suspek tidak bernasib baik kerana pengawal keselamatan itu mengenalinya dan kemudian memaklumkan kepada polis," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Mohd. Fauzi memberitahu, polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu menahan suspek kira-kira pukul 4.30 petang di rumahnya di Paka.
Menurutnya, polis menemui lima batang besi, mesin pencanai dan alat pengimpal yang digunakan suspek untuk memotong besi yang dicuri itu.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta majikan. - Utusan
Tuesday, June 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment