Saturday, July 4, 2009

Anggota Polis Trafik Koma Dilanggar Ketika Operasi

July 03, 2009 20:02 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis trafik koma selepas dilanggar oleh sebuah kereta semasa sedang menjalankan "Operasi Cegah Lumba Haram Selepas Jumaat" di Kilometer 79.6 Jalan Kuantan Kuala Terengganu, Dungun tengah hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor berkata kemalangan berlaku pada kira-kira pukul 2.15 petang semasa Kpl Azli Husin, 44, cuba menahan dan memeriksa sekumpulan samseng jalanan, sebelum dia dilanggar oleh sebuah kereta Proton Wira dari arah Sekolah Menengah Sains Dungun menghala ke bandar Dungun.

"Kemalangan itu menyebabkan petugas bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun itu mengalami kecederaan parah di bahagian dada, bahu, leher dan kepala," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Katanya pemandu kereta itu yang berusia 27 tahun itu kemudiannya membantu menghantar Azli ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan, dan Azli kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah petang ini untuk rawatan lanjut.

Dahlan berkata Azli mempunyai lima orang anak dan sudah berkhidmat 23 tahun dalam pasukan polis.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment