Oleh IRMAN HASHIM
utusanterengganu@utusan.com.my
Abdul Jalil Sulong melihat keadaan isterinya Mazlina Nawang yang cedera akibat diragut ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 28 Mei - Seorang wanita nyaris maut apabila beg tangannya diragut ketika menunggang motosikal di Jalan Tengku Omar, Kampung Wakaf Tembesu, Gong Badak di sini pagi ini.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Mazlina Nawang, 45, yang bekerja di kedai dobi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini.
Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dihimpit sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.
Bagaimanapun, ketika lelaki itu cuba menarik beg tangan mangsa yang berada di dalam raga motosikal, tali beg Mazlina tersangkut pada raga itu menyebabkan dia hilang keseimbangan lalu terbabas.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang jatuh tersembam di atas jalan patah dua batang gigi dan cedera di bahagian muka serta lebam pada anggota badan lain.
Anak sulung mangsa, Nur Aqidah Nasfati Abdul Jalil, 23, ketika ditemui berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali melalui telefon bimbit ibunya.
"Panggilan itu memaklumkan bahawa ibu saya sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
"Ketika tiba di hospital, seorang jururawat menyerahkan beg tangan ibu yang sudah putus salah satu talinya," katanya.
Menurut Nur Aqidah Nasfati, selepas diperiksa beg berkenaan, semua dokumen milik ibunya berserta wang tunai kira-kira RM500 masih ada di dalam beg tersebut.
Katanya, ibunya pada hari biasa akan pulang ke rumah kira-kira pukul 1 petang tetapi dia akan pulang lebih awal pada setiap hari Khamis.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuala Terengganu, Deputi Supritendan Harry Chung Chiu Mok ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu untuk mengambil keterangan penuh daripada mangsa kerana wanita itu masih dirawat di hospital.
Friday, May 29, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)